Kami tiba di lapangan terbang Murmansk Russia dari Moscow lebih kurang pukul 3 pagi.  Seperti yang telah difikirkan sebelum ini, kurang sesuai utk penerbangan yang tiba seawal pagi kerana tiada pengangkutan awam yang beroperasi. Bagaimanapun, ini adalah pilihan terbaik bagi menyesuaikan dengan masa bagi keseluruhan trip pengembaraan kali ini.  Ia adalah salah satu cara untuk menjimatkan masa dan juga boleh menjimatkan dari segi kos penginapan kerana sememangnya tiada kos penginapan apabila membuat perjalanan lewat malam dan awal pagi.

Kami tiba di bandar Murmansk seawal pukul 3.45 pagi apabila terpaksa mengambil perjalanan dengan teksi dari lapangan terbang Murmansk. Seperti yang dirancang, kami perlu ada di bandar Murmansk seawal pagi agar dapat membuat perjalanan ke Teriberka di awal pagi bagi dapat menggunakan masa sepenuhnya di Teriberka nanti. Kami mengambil keputusan untuk ke Station Keretapi Murmansk kerana itu adalah tempat terbaik untuk kami menunggu sebelum memulakan perjalanan ke Teriberka. Dalam cuaca musim sejuk yang begitu sejuk ini, kami perlu memasti ada tempat untuk menunggu yang sesuai kerana pastinya tidak sesuai untuk menunggu di luar bangunan dalam keadaan cuaca -25 darjah celcius ini. Station keretapi menjadi pilihan kami walaupun kami tidak pasti samada boleh menunggu di dalam station keretapi tersebut. 

Kami menunggu hari semakin cerah untuk mendapatkan bas ke Teriberka. Bagaimana pun setelah membuat tinjauan, tiada bas yang akan ke Teriberka seawal 5 pagi atau 6 pagi. Akhirnya kami menggunakan aplikasi e-hailing untuk mendapatkan sebuah kereta yang boleh membawa kami ke Teriberka yang akan mengambil masa lebih kurang 2 jam perjalanan. Memang rezeki kami dapat sebuah kereta untuk kesana seawal 6 pagi itu. Dengan bayaran 2300 RUb, kereta tersebut singgah di station minyak bagi mengisi minyak dan seterus terus membawa kami ke Teriberka. Disini dikongsikan beberapa gambar sepanjang perjalanan dari Murmansk ke Teriberka seawal 6 pagi. Kami beruntung dapat menyaksikan suasana matahari terbit yang begitu indah di kawasan tundra yang tidak berpenduduk sepanjang perjalanan kami.

Read More


Papan tanda "Teriberka" dalam bahasa Russia sebelum tiba di perkampungan Teriberka
 

"Teriberka", merupakan satu perkataan asing buat saya sebelum saya mengembara ke negara Russia. Teriberka merupakan salah satu lokasi pelancungan di Russia yang terpencil bagi penggemar-penggemar 'Northern Light" atau pun 'Aurora'. Saya tidak pernah terfikir dan Teriberka ini tidak pernah menjadi "bucket list" untuk saya pergi mengembara. Perancangan asal saya adalah untuk mendapat mengalaman melalui laluan keretapi terpanjang di dunia iaitu "Transiberian" dan juga tasik beku yang unik iaitu "Lake Baikal". 

Rakan kembara saya Kiet yang memberikan cadangan untuk ke Murmansk iaitu salah satu bandaraya di utara Russia bagi melihat fenomena Aurora. Saya sebenarnya kurang berminat dengan fenomena aurora ini dan ia bukanlah merupakan 'WishList' utama saya. Rakan kembara benar-benar ingin melihat fenomena aurora. Bagi saya, jika kembara ini diselitkan dengan aktiviti mengejar aurora ini, pastinya memerlukan waktu tambahan sekurang-kurangnya 5 hari termasuk perjalanan pergi dan balik ke Murmansk. Saya yang begitu mempunyai kekangan masa mengembara sebolehnya tidak mahu memperuntukkan masa untuk aurora ini walaupun ini merupakan pertama dan mungkin terakhir saya ke Russia. Dalam kira-kira untuk membuat keputusan samada untuk ke Murmansk ini, saya membuat sedikit 'research' tentang aurora di Russia ini. Dari situ saya menjumpai salah satu daripada 7 lokasi aurora di Russia iaitu "Teriberka". Ia merupakan lokasi terhampir dengan Bandaraya Moscow. Kita boleh ke Murmansk dari Moscow dengan menaiki kereta api yang mengambil masa hanya 19 jam sahaja.

https://www.rbth.com/travel/326730-best-places-northern-lights-russia

Setelah meneliti dengan lebih lanjut, saya mendapati lokasi Teriberka yang terpencil ini agak unik terutama dari segi lokasi dan bagaimana untuk sampai ke sana.  Ia melalui kawasan tundra sejauh 120 km dari bandar Murmansk yang amat kurang berpenduduk. Laluan kawasan terpencil yang hanya diseliputi dengan salji ini yang merupakan salah satu sebab utama saya mula berminat untuk ke sini dan juga kerana kawasan Teriberka yang terpencil di utara Russia yang mengadap Barents Sea. Saya mula berminat untuk ke sini bagi merasai bagaimana perjalanan yang agak 'adventure' untuk ke sini dan juga bagaimana merasai antara kawasan yang sejuk di Russia. Suhu terendah yang sempat dirasai di sini adalah -23 darjah celcius.

Mengikut pembacaan saya, Teriberka mula sedikit terkenal setelah salah satu filem yang bertajuk 'Leviathan' arahan Andrey Zvyagintsev yang dikeluarkan pada tahun 2014. Saya juga tertarik dengan salah satu blog yang memuatkan gambar salah satu sekolah di sini yang telah ditinggalkan (abandoned school at Teriberka). Dari sinilah saya mula membuat perancangan dan cuba untuk mencari masa dan sesuaikan dengan kembara Russia kali ini. Alhamdulillah dari situ dapat disesuaikan masa dengan terpaksa mengorbankan perkara-perkara yang kurang penting sepanjang kembara ini.

Abandoned school of Teriberka, Kola Peninsula

http://russiatrek.org/blog/photos/abandoned-school-of-teriberka-kola-peninsula/ 

 

Perjalanan dari Murmansk ke Teriberka mengambil masa 2 1/2 jam memandangkan perjalanan dilaluan yang agak licin dan berangin. Kenderaan tidak boleh dipandu terlalu laju bagi mengelakkan terbabas di pinggir jalan. Perjalanan pergi kami menggunakan kereta yang ditempah menggunakan apps Yandex. Ini kerana kami tiba seawal 4 pagi di Murmansk dan bas ke Teriberka hanya bertolak pada pukul 6 petangnya. Mengikut research saya, bas memang akan bertolak waktu petang dan kembali ke Murmansk pada awal pagi. Hanya perjalanan balik kami menggunakan bas. Kami bernasib baik kerana pemandu kereta tersebut sudi menerima tempahan kami seawal 5.30 pagi walaupun bayaran 2400 RUB (RM170) itu agak tidak begitu menguntungkan kerana perjalanan selama 2 1/2 jam yang melalui kawasan berisiko kenderaan rosak di tengah jalan dan terpaksa pulang ke Murmansk tanpa penumpang memandangkan tidak ramai yang melakukan perjalanan ini. Sepanjang perjalanan juga dapat dilihat kereta-kereta yang tersadai di tepi jalan yang ditinggalkan begitu sahaja. Bagaimanapun Alhamduilillah saya telah berpeluang ke sini dan mengalami sendiri pengalaman perjalanan ke Teriberka dan tinggal beberapa hari di sana. Insya Allah saya akan sambung lagi kisah pengembaraan saya di Russia ini di masa akan datang.


Perjalanan awal pagi ke Teriberka disambut dengan matahari terbit yang begitu memukau mata memandang.


Pemandangan 'sunrise' yang begitu mempersonakan.


Sebahagian dari permandangan Teriberka dari atas bukit.


Menikmati permandangan pagi di Teriberka


Antara rumah yang ditinggalkan


Permandangan dari atas jambatan yang menghubungkan Teriberka


Sekolah yang ditutup pada tahun 2005


Mencari pemilik sebenar kereta yang ditinggalkan ini.


Ini adalah guesthouse kami tinggal..... gurau je...


Suhu terendah yang kami dapat rasai di sini adalah -23.

Read More



1. Pentingkan Diri Sendiri 

Apabila kita mengembara sendirian, apa yang kita fikirkan adalah diri kita sendiri. Tiada orang lain. Samada hendak pergi ke kedai untuk makan ? atau hendak pergi bersiar-siar ? atau pun hendak tidur sahaja di hotel. Satu sahaja matlamatnya, Kita mendapat kebebasan yang sepenuhnya. Merangka dan merancang itinerary kita sendiri. Pentingkan diri untuk mendapatkan peluang kepada diri kita sendiri menikmati pengalaman. Tidak salah untuk pentingkan diri sendiri dalam situasi ini selagi anda menghormati orang lain.

2. Menggunakan peraturan yang berbeza

Apabila kita mengembara atau melancong dengan keluarga atau rakan-rakan, kita terikat dengan beberapa peraturan. Mungkin terlibat dengan ahli keluarga yang tidak bertanggungjawab. Adik beradik yang merosakkan keadaan atau pun rakan yang terlalu pemalu. Tapi, sekirannya kita bergerak secara solo atau berseorangan, semua berubah. Jadi apa yang kita hendak jadi. Keluar dari ruang selesa kita dan cuba untuk lakukan sesuatu yang berbeza. Jadi diri anda sendiri dan terokailah apa jua yang anda ingin lakukan. Tiada sesiapa yang kenal kita, jadi mereka akan lihat kita apa yang mereka sedang lihat sekarang. Jangan risau. Ambil peluang ini untuk mengenali diri anda sendiri dan tunjukkan kepada dunia siapa diri anda sebenar. 

3. Belajar Menguji Tahap Diri Sendiri.

Sebernarnya bukan mudah bila kita mengembara secara solo atau sendirian, tambahan pula bila mengembara secara backpackers dengan budget yang rendah (low budget). Banyak perkara yang perlu di ambil kira. Bagaimanapun sekadar mengembara secara solo di China dan hanya melewati kawasan bandar bukanlah sesuatu yang begitu mencabar. Ini kerana kemudahan awam masih mudah unutk di perolehi di kawasan bandar. Tetapi andai kata kita melewati kawasan luar bandar (remote area), keadaannya lebih mencabar kerana ada tahap di mana kita terpaksa menagih simpati menumpang kenderaan penduduk tempatan.
 

4. Belajar Untuk Merancang Lebih Awal.

Bila mengembara secara solo ini, Kita perlu merancang lebih ke depan dan lebih teliti. Perlu ada 'backup plan' andai rancagan yang di rancang tidak menjadi seperti yang dikehendaki. Sewaktu saya mengembara secara solo ke Beijing pada tahun 2015 yang lalu, saya mengambil masa hampir setiap malam sebulan sebelum saya terbang ke sana bagi membuat perancangan yang lebih teliti. Sememangnya apa yang kita rancang tidaklah akan berjalan dengan begitu sempurna, tetapi bila kita merancang, sekurang-kurangnya kita lebih bersedia dan menikmati atau 'enjoy' dengan pengembaraan kita.

5. Belajar Mengambil Tanggungjawab

Salah satu perkara yang terburuk berlaku semasa mengembara secara solo adalah dimana anda tidak boleh menyalahkan sesiapa. Apa yang berlaku adalah semua salah anda sendiri. Tentu sekali anda boleh menyalahkan syarikat penerbangan atau pihak hotel/hostel, TETAPI anda tidak akan mengubah situasi tersebut dengan menyalahi mereka.  Apa yang perlu anda buat sebenarnya adalah menyelesaikan masalah tersebut dan cuba untuk dapatkan penyelesaiannya. Jangan tunggu andai ada seseorang yang akan datang membantu anda tetapi anda sendiri yang perlu membantu diri anda sendiri.

6. Belajar Untuk Bercakap Bahasa Tempatan ( Bahasa Negara yang dilawati )

Bila kita mengembara secara solo, kadang kala kita perlu belajar bahasa negara tersebut. Kita perlu berinteraksi dengan penduduk tempatan sepanjang pengembaraan kita. Tambahan pula bila kita mengembara secara sendirian kerana semua urusan kita perlu lakukan tidak dapat mengharap rakan kembara kita andai kita mengembara secara berkumpulan. Sentiasa cuba untuk berinteraksi dengan penduduk tempatan. Tidak perlu risau anda tidak fasib berbahasa dengan mereka kerana anda bukanya masuk ke kelas bahasa.


7. Anda Membina Tahap Keyakinan

Apabila kita mengembara seorang diri, kita akan membina tahap keyakinan diri. Anda akan membuktikan bahawa diri anda boleh menerima cabaran yang baru dan menghadapi setiap masalah apabila ia berlaku. Memang agak sukar untuk menghadapinya tetapi anda boleh menerima kesilapan anda dan lebih baik anda lakukan kesilapan daripada anda tidak dapat menerima kesilapan.

 8. Anda lebih berfikiran terbuka

Mengembara telah membuatkan anda menghadapi pengalaman baru yang anda tidak tahu. Untuk menikmati pengalaman tersebut, kuncinya adalah anda perlu berfikiran lebih terbuka. Tanpanya anda tidak akan pergi jauh. Bila mengembara secara sendirian, anda akan menguji andaian anda dan anda akan mencabar tahap kepercayaan anda. Dunia ini penuh dengan halangan yang wujud oleh imaginasi kita sendiri. Kita terlalu cepat menilai sesuatu perkara tetapi bila kita mengembara ia boleh memberi kesedaran dengan tahap kejahilan kita kepada sesuatu.

9. Belajar Untuk Menghadapi Tahap Ketakutan Pada Diri

Berita Baik:  Bukan anda seorang sahaja yang ada sifat ketakutan. Orang lain juga ada perasaan takut.  

Berita Buruk:  Tiada jalan mudah atau jalan cepat untuk mengatasi masalah ketakutan ini. Tiada pil yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini. 

Tiada jalan lain untuk mengatasi masalah ini selain dari anda perlu menghadapinya.


10. Anda belajar untuk menjaga sendiri barangan anda.

Memang tidak dapat lari, apabila anda mengembara seorang diri, salah satu perkara yang penting yang perlu anda jaga adalah passport dan duit anda.  Sebagai contoh, jika anda berjalan di mana-mana bersama rakan anda, anda sendiri tidak akan sedar jika beg duit rakan anda di curi. Sama juga bila mengembara seorang diri, kita perlu sendiri berhati-hati dan sentiasa menjaga barangan kita sendiri. Tiada orang lain yang akan menjaganya. Dan kita perlu mengambil tindakan bagi mencegah dari perkara tersebut berlaku. Pastikan and tahu siapa yang perlu anda percaya dan sentiasa memerhati keadaan sekeliling anda terutama bila anda berada di kawasan yang penuh dengan orang terutamanya pelancong.  Kawasan tumpuan pelancong merupakan lubuk kepada pencuri atau penjahat yang ingin mengambil kesempatan kepada para pelancong yang masih belum biasa dengan keadaan di situ.

11. Anda Belajar Untuk Mendapatkan Kenalan Baru.

Anda akan mula cuba membina hubungan dengan rakan anda yang baru semasa anda mengembara secara sendirian. Bila anda bersendirian, ia akan mendorong anda untuk mencari rakan baru berbanding sekiranya anda mengembara bersama rakan di mana anda sering bersama rakan sahaja dan tiada kesempatan untuk anda membina hubungan dengan penduduk tempatan atau pengembara lain yang anda jumpa. Anda akan sedikit berasa sunyi mengembara seorang diri dan itu akan mendorang anda untuk berbual dengan orang lain di sekeliling anda. Semasa saya mengembar dari Beijing ke Alor Setar, Saya sendiri telah mendapat dua orang rakan baru dari China dan seorang rakan dari Vietnam yang masih saya hubungi sehingga kini.


12. Anda Akan Lebih Menghargai dan Menyayangi Keluarga Anda Yang Tiada Bersama Anda.

Kadang kala anda akan berasa sunyi apabila berseorang di negara luar. Kadang kala berhari-hari anda tidak bercakap dengan bahasa ibunda anda sendiri kerana asyik bercakap bahasa ayam itik dengan penduduk tempatan sepanjang perjalanan anda. Anda akan rasa lebih menghargai keluarga anda bila berjauhan. Jadi, walaupun anda suka mengembara berseorangan, kadang kala bawalah keluarga anda bersama ke luar negeri :-).


 

Kesimpulannya.

Mengembara berseorangan juga merupakan salah satu pelaburan yang anda boleh buat. Bukan sahaja untuk diri anda tetapi juga kepada dunia ini. Anda mengisi fikiran anda dengan kenangan yang akan bersama anda sepanjang hidup. Anda akan mempunyai cerita dan pengalaman untuk diceritakan atau untuk di kongsi. Anda tahu apa yang paling penting untuk anda. Anda belajar untuk hidup dengan kekurangan. Anda menjalani kehidupan yang tanpa penyesalan.

 

Read More
Page 1 of 3